Friday, May 17, 2013

Bab 3: Kemilau Sinar Kasihmu



Hampir dua tahun dia menutup rapat pintu hatinya untuk tidak ditakluki oleh sesiapa. Kerana baginya, hatinya hanya untuk Zalika. Gadis yang telah banyak mengubah hidupnya. Tanpa gadis itu, hilang arah tuju hidupnya. Dan selepas pemergian gadis itu, sikapnya telah berubah 100%. Dia menjadi murung, pemarah, kuat melenting dan tidak mempedulikan perasaan orang lain. Hidup hanya ditumpukan dengan kerja siang dan malam. Sehingga mama dan papanya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi untuk memulihkan dirinya. Itulah kehendak hati Megat Danish. Dia mula membenci perempuan. Baginya semua perempuan sama. Penipu dan menjengkelkan.

Tok!Tok!
Bunyi ketukan di pintu mengejutkan Megat Danish dari lamunan yang panjang. Segera dia membuka mata dan memperbetulkan duduknya. Nafas dihela panjang. Seketika kemudian dia mengarahkan gerangan yang berada di luar masuk.

Daun pintu diselak. Terjengol kepala setiausahanya, Puan Norin di muka pintu sambil melangkah masuk. Wanita yang sedang sarat mengandung itu dipandang sekilas.
“Maaf Tuan Megat, menganggu. Ni ada beberapa dokumen yang perlu tuan semak dan tandatangan.” Segera dokumen yang berada di tangannya diserahkan kepada Megat Danish.
Megat Danish sekadar mengangguk sambil menyambut huluran dokumen itu dengan wajah serius.
“Ada apa-apa lagi Tuan Megat?” Soal Puan Norin semula.
Megat Danish menggeleng kepala perlahan. “Awak boleh keluar sekarang.” Arahnya tegas.
Puan Norin terus mengatur langkah keluar. Kecut juga hatinya hendak berada lama-lama disitu. Maklumlah angin Tuan Megat memang kurang baik hari ni.

**********

Tepat jam 7 malam, mereka sampai di rumah teres 2 tingkat milik Farah. Rumah itu telah dibeli oleh Farah setahun yang lalu. Qalesya memerhati keadaan sekeliling rumah itu. Walaupun tidaklah berapa besar, tapi kawasannya cukup cantik dan mendamaikan. Pandai Farah pilih tempat tinggal.

“Eh, ape lagi tercegat kat situ. Jom la masuk. Dah maghrib ni Esya.” Farah menegur Qalesya yang masih lagi berdiri di luar. Entah apa yang difikirkan oleh gadis itu agaknya.
Pantas Qalesya masuk. Beg pakaian diletak ke tepi. Dia memerhati lagi keadaan dalam rumah itu sambil tersenyum.

“Cantiknya rumah kau Farah. Kemas.” Pujinya ikhlas sambil matanya melilau melihat sekeliling dalam rumah itu.
“Alah, rumah biasa je Esya. Jom la aku tunjukkan bilik kau. Bilik kat tingkat atas.”
Qalesya membuntuti langkah Farah.

Qalesya mengemas pakaiannya dan menyimpan di dalam almari. Kemudian dia turun ke bawah untuk membantu Farah menyediakan makan malam.
“Hmmmm sedapnya bau. Kau masak ape Farah? Boleh aku tolong?” Soal Qalesya. Mahu menghulur bantuan.
“Masak simple aje ni Esya. Ala, kau tu lagi terror masak dari aku kan?” Farah mencedok kari ayam ke dalam mangkuk dan diletakkan di atas meja makan. Qalesya menyusun pinggan dan gelas.
“A’ah, terror. Terror goreng ikan masin.” Qalesya membalas sambil tersengih. Sengaja hendak menyakat Farah.
“Yela tu. Hah jom lah. Kita makan. Perut aku dah berdondang sayang kat dalam ni.” Farah mencedok nasi dalam pinggan.

Mereka menikmati hidangan ringkas malam itu tapi sangat membuka selera. Setelah selesai makan , mereka kemudiannya menonton televisyen di ruang tamu.

“Er Farah, aku nak tanya sikit boleh?.” Qalesya bersuara setelah masing-masing diam khusyuk melayan drama di televisyen.
Farah yang sedang mengunyah makan ringan menoleh sekilas ke arah Qalesya sebelum matanya difokuskan kembali ke kaca televisyen.
“Apa dia?” soalnya pendek.
“Tuan Megat tu, perangai dia memang camtu ke Farah? Maksud aku, sikap dia yang suka marah dan menengking tu?” soal Qalesya ingin tahu.
Berkerut dahi Farah mendengar soalan Qalesya yang tidak diduga itu. Dia memusingkan badan ke arah Qalesya yang duduk di sebelahnya.
“Setahu aku, dia memang macam tu. Dia tak berapa suka bergaul dengan orang kebanyakkan. Nak bergaul dengan orang yang setaraf dia aje Esya. Orang macam kita ni memang dia tak pandang langsung. Tak macam Dato’. Baik dengan semua orang.” Jelas Farah. Qalesya mengangguk kecil.

“Tapikan, hari tu masa aku kemas meja dia, aku ternampak ada bingkai gambar perempuan atas meja dia. Cantik. Isteri dia eh?” Soal Qalesya lagi. Ingin tahu lebih lanjut.
“Setahu aku, dulu Megat Danish hampir nak berkahwin. Tapi dengar-dengar pada hari nikah tu, pengantin perempuan menghilang. Lari bersama lelaki lain. Tu yang aku dengar la. Mungkin sebab tu kot Megat Danish jadi camtu.”
“Yeke Farah? Kesiannya.” Balas Qalesya. Sedih jugak dengar kisah hidup Megat Danish. Dia mengetuk-getuk jari telunjuk dibibirnya. “Habis tu, sekarang takkan dia takde pengganti lain?”
“Tu mana la aku tahu Esya. Tapi yang aku selalu tengok ada la seorang minah ni yang perasan dia tu minah Salleh, selalu datang ke pejabat nak jumpa ngan Tuan Megat. Pakaian dia hari-hari macam tak cukup kain. Sakit mata aku tengok. Tapi Tuan Megat jarang nak layan dia. Gedik je lebih minah tu.” Farah mencebik. Meluat bila terkenangkan perangai gedik Tengku Monalisa yang tergila-gilakan Tuan Megat.
Qalesya mengangguk lagi. Dahsyat jugak. Ada jugak perempuan macam tu kat dunia ni ye. Dia berfikir sendiri.

**********



Bunyi bingit muzik yang semakin rancak tidak dihiraukan. Megat Danish semakin rakus meneguk air alkohol di hadapannya. Kemudian rokok disedut dalam-dalam dan kemudian asap dihembuskan ke udara. Fikirannya melayang entah ke mana. Saban hari begini lah sikap Megat Danish. Semakin hanyut. Dirinya bagaikan sudah tiada pedoman hidup. Kecewa dalam percintaan telah menjadikannya seorang lelaki yang lemah dan alpa. Alpa dengan tanggungjawab. Matanya sekilas melihat ke arah kelompok manusia yang menari rancak di tengah kelab malam itu. Langsung tidak ingat dunia. Yang lelaki seronok memeluk dan membelai tubuh pasangan. Langsung tiada rasa malu. Mereka bebas berbuat apa saja. Megat Danish sekadar memerhati.

“Danish, jom la temankan I menari.” Rengek Monalisa yang datang menghampiri Megat Danish. Sedari tadi Monalisa begitu asyik menari dengan beberapa orang lelaki. Dengan gaya pemakaian nya yang cukup terdedah, sesuka hati saja lelaki meraba tubuhnya.
“You pergilah. Jangan ganggu I.” Herdik Megat Danish yang kelihatan sudah mabuk.
“Hisy, buat apa you datang sini kalau setakat nak duduk melangut macam ni Danish? Boring la you ni.” Rungut Monalisa lagi tidak puas hati. Ajakan nya ditolak lagi oleh Megat Danish.
“I nak balik.” Ringkas tapi cukup jelas. Megat Danish segera bangun dan beredar dalam keadaan terhuyung hayang. Monalisa yang memerhati terus menghampiri.
“I hantar you balik.” Dia terus memeluk dan memapah Megat Danish.
Megat Danish tidak menolak. Lantas pinggang wanita itu dipeluk erat. Monalisa tersenyum bangga.

Keadaan Villa Mawar sudah sunyi. Hanya cahaya lampu suram yang samar-samar menerangi ruang tamu. Megat Danish melangkah masuk dengan penuh berhati-hati. Dentingan jam loceng di dinding mengejutkannya. Pukul 3 pagi! Dia terus menuju ke arah tangga dengan keadaan jalan yang sudah tidak berapa betul. Baru saja kakinya hendak memijak anak tangga yang pertama, tiba-tiba suasana jadi terang benderang. Megat Danish terkaku di situ.

“Megat Danish!” Sergahan suara tegas itu mengejutkannya. Lantas dia berpaling.
Dato’ Megat Rashid berdiri tidak jauh dari situ dengan wajah yang serius.
“Baru sekarang kamu balik?” Soalnya sinis.
Megat Danish diam. Tidak bersuara. Malas mahu bertekak. Yang dia tahu sekarang adalah mahu melayan rasa kantuk di mata yang semakin memberat.
“Kamu mabuk lagi ke Danish? Apa nak jadi dengan kamu ni hah!?” Kuat sekali suara Dato’ Megat Rashid. Menahan rasa sabar menghadap kerenah anaknya.
Datin Mawar yang turut muncul dari arah dapur juga kelihatan terkejut melihat keadaan anaknya yang kusut masai. Dengan bau busuk akibat dari air alkohol yang diminum oleh Megat Danish membuatkannya rasa hendak termuntah. Lantas dia menghampiri Megat Danish yang masih terkaku di tangga.

“Danish, kenapa buat macam ni nak? Jangan terus merosakkan diri Danish.” Pujuk Datin Mawar dalam esak tangisnya yang sudah mula kedengaran.
“Dah la ma. Danish penat. Nak tidur.” Acuh tak acuh saja jawapannya. Dia segera menaiki anak tangga. Kemudian terdengar pintu bilik dihempas dengan kuat. Terkejut Datin Mawar.
Dato’ Megat Rashid hanya mampu menggeleng kepala. Kesal di hati hanya Tuhan yang tahu.

Pagi yang hening itu, Qalesya bersujud kepada Yang Maha Esa. Dia memohon agar keluarganya dilindungi oleh Allah. Setitis airmata jatuh membasahi pipi. Rindu kepada arwah ibunya sudah tidak tertahan lagi. Qalesya terus menangis. Akhirnya dia terlelap dalam tangisan di atas tikar sejadah bertemankan mimpi indah bertemu dengan ibunya.

Suara azan sayup-sayup kedengaran di telinganya. Perlahan dia membuka mata. Dia bangkit sambil memicit kepalanya. Terasa berat sekali. Dah subuh rupanya. Bisiknya sendirian. Segera kain telekung di tanggalkan dan dia menuju ke bilik air untuk terus menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa.

**********

Pagi itu Farah bangun seperti biasa untuk menyiapkan sarapan sebelum ke pejabat.  Qalesya yang sejak awal tadi sudah rasa tidak sedap badan segera turun ke bawah. Tak baik pula membiarkan Farah menyediakan semuanya. Lagipun dia menumpang Farah untuk sama-sama ke tempat kerja.

“Pagi Farah.” Ucapnya sebaik saja menghampiri meja makan.
“Pagi.” Farah kemudian memandang ke arah Qalesya. “Eh, Esya, apesal kau nampak pucat aje ni? Kau tak sihat ke?” Soalnya apabila perasan dengan wajah Qalesya yang sedikit pucat.
“Eh, aku okey je. Kau jangan risau eh.” Balas Qalesya sekadar mahu menyedapkan hati Farah walaupun saat ini dia rasakan kepalanya sudah terlalu berat.
“Muka kau pucat ni Esya. Kau tak payah la pergi kerja. Nanti aku cakap dekat Tuan Megat.” Usul Farah. Risau melihat keadaan Qalesya yang nampak tidak bermaya.
“Eh Farah. Tak payah la. Aku okey ni. Pening sikit je kot. Aku boleh buat kerja lagi ni. Lagipun takkan la baru hari kedua kerja aku dah nak ambik cuti. Nanti apa pulak kata tuan Megat.”
“Betul ni?” soal Farah inginkan kepastian dari sahabatnya itu.
Qalesya mengangguk kemudian tersenyum kecil.

Mereka tiba awal di pejabat Mawar Maju Bina Holding pagi itu. Farah terus bergerak ke arah meja kerjanya. Qalesya terus menghala ke arah ruang rehat dan meletakkan barangnya di situ. Saat dia terbongkok-bongkok mencapai baldi, satu suara menegurnya.
“Assalamualaikum.” Sapa suara itu.
Qalesya berpaling. Kelihatan seorang wanita yang agak berusia sedang berdiri dimuka pintu.
Waalaikumsalam. Err… Mak Mah ke?” soalnya ingin tahu. Dari gaya wanita itu yang berpakaian tidak beza sepertinya, dia dapat mengagak bahawa itu adalah Mak Mah.
“Pandai ye Qalesya meneka.” Ramah wanita itu berkata.
Qalesya menghulur tangan untuk bersalaman. Dia kemudian tunduk sambil mencium tangan wanita itu. “Apa khabar Mak Mah?” Soalnya lagi.
“Mak Mah sihat. Baru hari ni dapat berkenalan dengan Qalesya ye. Semalam tak sempat nak berkenalan.” Ujar Mak Mah.
Qalesya tersenyum. “Panggil Esya je Mak Mah. Lebih mesra.” Qalesya membalas mesra. Mereka berbual mesra. Baru sekejap berkenalan, mereka sudah kelihatan mesra seperti sudah lama kenal. Mak Mah begitu menyenangi keperibadian gadis itu. Sopan santun dan lemah lembut orangnya. Awal-awal lagi dia sudah bertanya kepada Farah perihal pekerja baru itu.

Qalesya memulakan tugasnya dengan membersihkan habuk-habuk di pejabat itu. Kepala yang memberat di tahan seketika. Tidak mahu terlalu melayan walaupun pandangannya jadi semakin kabur. Kemudian dia mencapai mop dan baldi di bawa menuju ke muka pintu utama. Baldi mop diletakkan di hadapan pintu. Sedang dia memasukkan mop di dalam baldi, daun pintu dikuak. Ketika itu juga lah batang mop nya tertepis baldi sehingga menumpahkan air dari dalam baldi itu. Alamak! Qalesya terkejut.

“Oh my!” kedengaran suara itu seakan terkejut.
Qalesya apatah lagi. Dia terus tergamam sejak dari tadi apabila dia melihat kasut seseorang yang berdiri dihadapannya sudah habis basah disimbah air mop. Qalesya menggigil. Dia yang menunduk sedari tadi memperbetulkan baldi mop tidak berani angkat muka. Mati la aku. Dia sudah panik.

“Err…. Ma..maaf tuan Megat. Ma…maaf…. “ terketar-ketar sudah suara Qalesya ketika itu. Menggigil tangannya. Tidak berani menentang wajah bengis itu lagi.
“No…no…its okey. Never mind.” Balas suara garau itu lagi.
Qalesya hairan. Eh, apesal baik pulak tuan Megat hari ni? Dia tak marah ke kasut dia basah kena air mop ni? Qalesya menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Lelaki yang sejak tadi berdiri di hadapannya hairan melihat tingkah gadis itu. Seperti berfikir sesuatu.
“Excuse me, cik okey ke ni?” Sapa suara itu lagi.
Hah? Dia tanya aku okey ke tak? Sah, tuan Megat tak betul agaknya ni. Qalesya berfikir lagi. Kepalanya digeleng-geleng. Wajahnya berkerut-kerut.
Lelaki itu bertambah hairan tetapi semakin rasa lucu melihat telatah gadis dihadapannya.
“Errr cik… hello…” tangannya diawang-awangkan di muka Qalesya.
Lantas Qalesya mendongak. Bulat matanya. Mulut pula ternganga. Terkejut bukan kepalang. Eh, bukan tuan Megat? Orang lain rupanya. Dia mengurut dada. “Kusss semengat.” Keluar patah perkataan itu dari bibir comelnya. Lega rasa hati. Tapi siapa dia ni? Bergaya, segak, lebih kurang macam tuan Megat juga.


Syed Aiman terus terpaku di situ. Saat matanya bertentang dengan sepasang mata bundar bulat yang bersinar itu, hatinya terasa terus di panah. Cantiknya mata dia. Siapa dia ni? Dari segi cara, nampak macam cleaner dan tea lady aje ni. Syed Aiman berkata sendiri.

**********

“Hello bro! Long time no see.” Lantas kedua sahabat itu berpelukan setelah 3 tahun tidak berjumpa.
Syed Aiman baru pulang dari Switzerland setelah menguruskan perniagaan ayahnya di sana.
“Makin macho kau sekarang ye Aiman.” Danish memulakan bicara.
“Alah, kau pun apa kurangnya. So, how’s your life now?” soalnya ingin tahu. Peristiwa yang telah menimpa sahabatnya 2 tahun yang lalu masih kemas tersimpan dalam ingatannya.
“Aku macam ni la Aiman. Malas aku nak fikir hal perempuan lagi. Buat sakit kepala aku aje. Eh, kau pulak? Dah ada calon?” Soalnya kembali kepada Aiman.
“Well, aku ni still single and available. Masih belum jumpa calon yang berkenan di hati lagi ni.” Aiman tersengih.
Keadaan kasut yang basah dan stoking yang lembab membuatkan Syed Aiman berasa tidak selesa. Dia bingkas bangun dan menuju ke arah sofa dalam bilik pejabat itu. Dia melabuhkan punggung dan membuka kasut serta stoking nya. Kasut itu kemudiannya diletakkan di bawah penghawa dingin supaya tidak terlalu basah.

Megat Danish yang memerhati tingkah Syed Aiman itu berasa pelik.
“Apesal kau buka kasut dengan stoking ni? Pelik pulak kau ni. Atau sepanjang kat Switzerland tu kau kerja guna kaki ayam?” Megat Danish sudah tertawa kecil.
Syed Aiman menjeling sahabatnya yang galak mentertawakannya.
“Kasut aku basah.” Jawabnya ringkas.
“Basah? Hujan ke kat luar tu?” Megat Danish bingkas bangun dan menuju ke jendela untuk memastikan samada cuaca di luar sana hujan atau tidak. Lantas tirai tingkap di selak luas.
“Eh, punya la baik cuaca kat luar tu.”
Megat Danish melabuhkan semula duduknya di atas sofa bertentangan dengan Syed Aiman.
“Ataupun hujan turun membasahi kau seorang aje kot. Haha!” Kuat Megat Danish gelak. Merah mukanya.
Terjegil mata Syed Aiman mendengar kata-kata Megat Danish.

“Merepek kau ye. Kasut aku basah sebab tertumpah air mop. Aku terlanggar baldi mop masa masuk tadi.” Syed Aiman menjelaskan perkara sebenar.
“What? Air mop?” Terjerit kecil Megat Danish.
Mesti perempuan jelek tu buat hal lagi ni. Memang nak kena agaknya dia ni. Megat Danish mula rasa geram. Giginya diketap.
Syed Aiman hanya memerhati tingkah Megat Danish yang tiba-tiba seperti marah saja lagaknya.
“Kau kenapa pulak ni?” Soalnya hairan.
“Mesti perempuan jelek tu cuai lagi buat kerja ni. Buat sakit hati betul la aku tengok dia tu.”
“Perempuan jelek?” Syed Aiman semakin hairan.

Kedengaran pintu bilik diketuk. Megat Danish segera memberi arahan masuk.  Terjengol kepala Qalesya masuk sambil menatang dulang yang berisi 2 cawan kopi. Dia kemudiannya berdiri tercegat di belakang pintu. Syed Aiman menoleh sekilas. Terpana lagi dia seketika apabila melihat wajah itu sekali lagi di depan mata.
“Kau tercegat apa lagi kat situ hah?” Sergah Megat Danish.
Menggigil tangan Qalesya apabila menghampiri kedua lelaki itu. Dia meletakkan dulang perlahan-lahan di atas meja. Syed Aiman sedari tadi tidak berkelip mata merenungnya. Megat Danish pula melihat dengan pandangan yang meluat. Apa kolot benar pakaian perempuan ni. Sempat dia mengutuk dalam hati.


Saat tangannya hendak meletakkan cawan di hadapan Megat Danish, tidak diduga dia tertepis cawan itu dan terus menumpahkan air kopi ke atas seluar lelaki itu. Megat Danish nyata terkejut. Syed Aiman sudah ternganga.

“Heiiii perempuan bodoh! Ape hal kau ni hah? Buat kerja tak pakai mata ke ape!?” Kuat suara Megat Danish menengking. Kemarahannya sudah tidak dapat dikawal lagi. Terasa ringan saja tangannya mahu menampar gadis itu. Nampak kecil saja di matanya.
Terangkat bahu Qalesya kerana terkejut dengan tengkingan itu. Matanya mula berkaca-kaca. Tetapi dia segera mencapai tisu di atas meja dan cuba untuk mengelap seluar Megat Danish. Baru saja tangannya cuba hendak mengelap kesan air pada seluar Megat Danish, tangannya ditepis dengan kasar. Terpelanting tisu ditangannya.

“Kau jangan nak sentuh-sentuh aku ya. Jijik aku, kau tau tak!!?” Megat Danish semakin marah.
Syed Aiman yang memerhati sedari tadi mula bersuara. Perbuatan Megat Danish dirasakannya terlalu melampau.
“Rileks la Danish. Tak perlu la marah dia macam ni. Benda kecik aje kan.” Syed Aiman cuba mengawal keadaan. Kasihan melihat wajah gadis itu yang kelihatan keruh saja.
“Kau nak sebelahkan perempuan jelek ni ke?” Soal Megat Danish tidak puas hati. Ape kena dengan semua orang ni. Nak sebelahkan perempuan yang entah dari mana ni.
“Aku bukan nak sebelahkan sesiapa Danish. Kalau nak marah sekalipun, tak perlu menengking macam tu. Dengan perempuan pulak tu.” Syed Aiman kemudian mengalih pandang ke arah Qalesya yang masih menunduk dari tadi.
“Err cik tak apa-apa ke?” Soalnya prihatin.
“Errr tak, tak apa-apa.” Jawab Qalesya.

Megat Danish yang melihat sudah merasa geram.
“Saja nak mintak perhatian la tu. Dasar perempuan kampung macam kau ni mana nak sedar diri.” Amuk Megat Danish lagi. Tanpa belas. Tanpa simpati. Hatinya sedingin dan sekeras ais di kutub utara.
“Danish, kenapa kau cakap macam tu.” Syed Aiman membidas. Kurang enak mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Megat Danish.
“Huh! Baik kau keluar sekarang sebelum aku heret dan campak kau kat luar pintu tu.” Arah Megat Danish tegas.

Qalesya mengatur langkah perlahan.  Syed Aiman menghantar pandangan mengikuti langkah Qalesya. Ketika Qalesya membuka daun pintu, kepalanya terasa berpinar-pinar. Pandangannya semakin kabur. Tangannya kejap memegang daun pintu untuk menampung tubuhnya yang terasa semakin lemah. Sesaat, dua saat, dia terasa tubuhnya semakin melurut hendak jatuh rebah menyembah lantai pejabat itu. Di saat itu terasa ada tangan yang menyambutnya. Qalesya terus tidak sedarkan diri.

No comments:

Post a Comment